Seringkali, kita terlalu memikirkan kelemahan dan kekurangan diri terlalu banyak berbanding kelebihan sebenar yang ada pada diri kita sendiri. Allah tidak menjadikan seseorang manusia itu bodoh dan lemah namun manusia diciptakan dengan kemahiran dan kelebihan yang berbeza-beza. Pandangan dan persepsi umum yang menyebabkan interpretasi kelebihan itu lebih kepada orang yang bijak dan cerdik pandai juga indah paras rupanya.
Jika kita merasa diri kita ini serba kekurangan ingatlah, itu hanya dipandangan mata umum. Persepsi umum ianya begitu namun disisi Allah jauh sama sekali berbeza. Asalkan kita memahami konsep penilaian kita disisi Allah bukan disisi manusia. Ya..hakikatnya bila seseorang manusia itu punya kelebihan diri seperti paras rupa, ilmu, kecerdikan dan sebagainya mereka akan mudah disanjung, disenangi oleh mata umum. Tiada salahnya dengan itu semua namun kita yang merasa dunia ini sempit melihat segenap ruang diri hanyalah kekurangan dan kelemahan, ingatlah nilaian kita disisi manusia mungkin begitu mengecewakan namun carilah nilaian kita disisi Allah. Kita yang akan tentukan sejauh mana nilaian kita disisi Nya. Sejauh mana kita letak harga diri kita disisi Allah jauh lebih penting berbanding kehidupan dunia yang adakalanya sangat tidak adil, mendukacita serta mengecewakan.
Jika anda melihat kelemahan itu telah membayangi kehidupan anda cukuplah dan janganlah begitu kerana anda berhak merasai kehidupan yang lebih baik dari tidak menangisi kelemahan itu. Dengan menangisi setiap kelemahan diri itu anda selangkah meninggalkan setiap kelebihan yang sebenarnya ada pada diri anda. Carilah setiap ruang dalam diri yang mana anda lebih baik dari orang lain. Allah ciptakan manusia itu terlalu unik. Belum ada satupun manusia yang wujud dimuka bumi ini serupa identiti.
Apakah maksud semuanya ini?.. Ya, setiap manusia berbeza kelebihan dan kemahiran. Pasti setiap diri kita ada kelebihan kerana ciptaan Allah itu penuh kesempurnaan jika dilihat dari sisi nikmat ciptaan Nya yang tidak termampu untuk dihitung. Carilah butir berlian yang ada dalam diri anda itu yang mana anda masih belum terlihat kehadirannya sedangkan ia wujud!
Sedarkah anda sebelum dan saat kita dilahirkan lagi, kita telah menjadi juara nombor satu. Anda tidak pernah ingat saat dan ketika bersaing mendapatkan benih persenyawaan satu ketika kurang lebih 9 bulan terdahulu sebelum saat kelahiran lagi. Masakan tiada ruang keistimewaan dalam diri anda yang dapat dirungkaikan sedangakan anda telah ditakdirkan untuk menjadi nombor satu dan lahir ke muka bumi ini selaku khalifah yang mampu menggalas setiap amanah yang diberikan.
Jadilah diri kita kerana kita diciptakan unik. Keunikan setiap dari kita sahaja yang berbeza. Tidak salah untuk mencontohi orang lain tetapi jangan sampai ianya memadam kemampuan dan kelebihan diri sendiri. Jika ingin melihat kelebihan yang ada pada orang lain janganlah sampai anda lupa bahawa anda adalah nombor satu. Anda adalah nombor dua jika anda ingin menjadi orang lain, kerana mana mungkin anda dapat menggantikan keunikan anda sendiri dengan keunikan orang lain. Jadilah diri kita sendiri seikhlasnya.
Untuk berjaya anda perlu mencontohi akhlak Rasulullah tetapi anda tidak akan mampu menjadi seperti Rasulullah. Dan kita pun tidak disuruh untuk menjadi Rasulullah tetapi mencontohi Rasulullah. Anda lihatlah bagaimana Rasulullah membahagi-bahagikan tugas sahabat-sahabatnya berdasarkan kelebihan dan kemahiran masing-masing.
Jadi, janganlah terlalu meratapi kelemahan diri, yang bertandang nanti hanyalah kecewa –hampa, duka –lara. Lantas dimana keadilan yang anda berikan pada diri sendiri? Anda merintih kehidupan ini tidak adil namun sudah adil kah anda pada diri sendiri. Mengapa tidak digali segenap ruang kelebihan yang ada pada diri dan ciptakan satu kejayaan. Dimana anda letakkan nilai diri anda, disisi Allah atau disisi manusia itu juga adalah tafsiran kejayaan yang anda ciptakan. Berjayanya anda tidak semestinya dimata umum semata. Anda mungkin kelihatanya tidak semasyhur mana disisi masyarakat namun tidak bermakna anda telah gagal. Mungkin anda lebih berjaya dari mereka kerana tafsiran kejayaan anda adalah nilaian disisi Allah.
Apa yang pasti kelebihan itu tetap ada begitu juga dengan kelemahan didalam diri. Anda tentukan mana yang perlu diberi tumpuan. Kelemahan sememangya boleh diatasi namun mana satu cara yang lebih berkesan samada anda terus tumpukan pada kelebihan diri dan lupakan kelemahan itu atau anda ingin memberi tumpuan pada kelemahan diri. Jika anda adalah seorang yang kuat semangat mungkin anda akan memberi tumpuan dan berusaha untuk menghadapi kelemahan tersebut.
Namun itu bagi mereka yang kuat semangat dan itu adalah kelebihan sebenarnya yang telah digunakan untuk mengatasi kelemahan diri. Namun bagi mereka yang merasakan kelemahan itu sesuatu yang sukar untuk diperbaiki anda tumpukanlah kepada kelebihan yang ada pada diri pada jalan kebaikan dan InsyaAllah dengan niat serta usaha baik anda itu akan membuahkan hasil kejayaan jika tidak disisi manusia pun yang lebih penting lagi disisi Allah.
Jika keberkatan Allah yang anda cari, memang itulah yang anda akan dapat. Dan anda tidak akan terlalu kecewa atau pun bersedih hati kerana tafsiran kejayaan anda hanya disisi Allah, hanya DIa yang lebih tahu maka hanya kasih sayang Allah yang anda damba kan mengatasi kasih sayang sesama manusia. Jika anda rasa kasih sayang sesama manusia itu begitu indah anda boleh bayangkan kasih sayang Allah itu nun jauh lebih indah lagi kerna manusia hanyalah makhluk ciptaan Nya.
Wallahualam...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment